Bayi mogok susu? Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Tidak kira apa pun puncanya, berdepan situasi begini (bayi mogok menyusu badan) pastinya perkara yang tidak menyeronokkan.
Lebih-lebih lagi apabila bayi anda sukar menenangkan diri dan tidak gembira. Anda sebagai seoang ibu juga mungkin berasa kecewa.
Seperkara lagi yang perlu para ibu ingat adalah bayi anda bukan menolak diri anda apabila anda ingin memberi susu badan.
Percayalah proses penyusuan akan kembali kepada normal, cuma mungkin memerlukan sedikit masa saja.
Berikut adalah 5 tips yang boleh dicuba untuk mengatasi masalah bayi tidak mahu menyusu badan:
-
Sentuhan kulit ke kulit
Berikan lebih banyak hubungan kulit ke kulit dengan membaringkan si manja lebih kerap ke dada anda. Sentuhan ini dipercayai boleh menghilangkan tekanan dan dapat membantu menurunkan tekanan darah pada ibu.
-
Perahkan beberapa titis susu
Ibu boleh cuba memerah beberapa titis susu pada puting sebagai cara untuk ‘memancing’ bayi anda untuk menyusu. Apabila bayi menghisap puting dan merasai susu, ia mungkin secara tidak langsung akan mencetuskan keinginan bayi untuk menyusu kembali.
-
Tukar posisi penyusuan
Apa kata ibu cuba menukar posisi penyusuan yang berbeza. Jika sebelum ini ibu biasa menyusukan si manja dengan duduk di kerusi, cubalah untuk menyusu sambil berbaring.
-
Kurangkan gangguan
Lakukan penyusuan di dalam bilik yang tenang dan selesa. Elakkan sebarang gangguan bunyi bising seperti bunyi daripada televisyen yang boleh menyebabkan fokus bayi pada penyusuan terganggu.
-
Pemilihan masa
Masa terbaik untuk mengatasi mogok menyusu ini adalah dengan membawa bayi menyusu apabila mereka dalam keadaan hampir tidur, sudah tidur atau baru terjaga. Cara terbaik untuk mengelakkan keadaan bayi tidak mahu menyusu badan adalah dengan melakukannya secara perlahan-lahan dan hindari daripada memaksa. Biasanya bayi akan menyusu apabila disuakan puting walaupun ketika tidur lena.
***Paling penting apabila berdepan situasi bayi mogok menyusu, ibu perlu bertenang dan bersabar. Percayalah dengan kesabaran itu, keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.