Bayi Tumbuh Gigi? Ini 10 Tanda Bayi Tumbuh Gigi
Terdapat 10 tanda bayi akan tumbuh gigi susu yang dapat diperhatikan. Ini untuk persediaan ibu bapa setelah bayi anda mencecah umur 6 bulan dan keatas. #1 SUKA MENGGIGIT Satu tanda bayi tumbuh gigi yang paling ketara adalah sifatnya yang suka menggigit permainan atau apa saja yang dijumpai. Hal ini kerana, menggigit dapat memberi kelegaan pada gusi dan menjadikan gusi yang sakit itu kebas. #2 AIR LIUR MELELEH Saliva atau air liur yang lebih akan diproduksikan untuk melembapkan gusi bayi yang lembut. Simptom ini mungkin berlaku beberapa bulan lebih awal sebelum gigi bayi dalam proses menolak ke permukaan gusi. #3 SUKA MEMASUKKAN JARI KE DALAM MULUT Sama seperti proses menggigit, perbuatan memasukkan jari dan menekan gusinya adalah salah satu tanda bayi tumbuh gigi. Mungkin mereka lebih selesa menggunakan tangan sendiri berbanding permainan atau barangan yang keras. #4 MENARIK TELINGA Kadangkala, kesakitan yang dialami oleh bayi semasa tumbuh gigi boleh merebak hingga ke telinga atau pipi, terutamanya gigi belakang. Menurut Metro Parent, kelakuan menarik telinga ini adalah satu bentuk ‘urutan’ untuk membantu bayi berasa lebih aman. #5 RUAM MUKA Ekoran daripada air liur yang meleleh tadi, sesetengah bayi akan mula mendapat ruam kerana kulitnya yang sensitif. Maka, biasakan mengelap air liur bayi untuk mengurangkan kerengsaan ini. Salah satu penawar yang boleh disapukan pada pipinya adalah ‘nipple cream’. Pastikan ia bersifat organik, hypo-allergenic, dan selamat dimakan. #6 KERAP MENANGIS Sebagai orang dewasa, mungkin kita terlepas pandang betapa sakitnya apabila gigi yang tajam mahu menembusi permukaan gusi. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan bayi akan menangis dan merengek semasa dalam proses tumbuh gigi kerana berasa sakit dan tidak selesa. Ada yang akan merengek selama beberapa hari, tetapi ada juga yang akan terus meragam hingga berminggu-minggu lamanya! #7 KURANG BERSELERA Pada ketika ini, bayi mungkin suka mendapatkan payudara atau puting tiruan untuk digigit, tetapi kurang meminumnya. Anda mungkin akan menganggap mereka suka ‘main-main’, tapi sebenarnya mereka sedang berusaha melegakan kesakitan yang dialami pada gusi. #8 BATUK ATAU MUNTAH Menurut laman web keibuan What to Expect, sesetengah bayi mungkin akan berasa tidak selesa pada tekak akibat pengumpulan air liur sehingga terbatuk dan muntah. Anda tidak perlu risau sekiranya bayi tidak mengalami kenaikan suhu badan seperti demam atau selsema. #9 TERJAGA MALAM Tanda bayi tumbuh gigi yang mungkin paling menyeksakan ibu bapa adalah terjaga malam. Kesakitan itu bukan saja berlaku pada siang hari, tetapi juga pada waktu malam. Oleh itu, cuba biarkan bayi buat beberapa ketika sebelum menenangkannya. Dengan cara ini, bayi dapat belajar tidur semula tanpa pertolongan anda. #10 CIRIT-BIRIT ATAU DEMAM Kedua-dua simptom ini sebenarnya dikaitkan dengan tabiat bayi yang menelan air liur atau memasukkan barang ke dalam mulut. Akibatnya, kotoran atau bakteria yang terkumpul mungkin akan menyebabkan bayi mengalami demam rendah ataupun cirit-birit.