




Masalah autisme di kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan. Antara kemahiran yang mengalami gangguan akibat daripada autisme ialah;
Kanak-kanak autisme mengalami kesukaran untuk memahami percakapan, bertutur dan menyatakan kehendak. Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Kebiasaannya mereka membuat bunyi atau perkataan yang tidak bermakna dan tidak boleh difahami (jargon). Kanak-kanak autisme juga boleh mengalami ekolalia, iaitu, pengulangan perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain
Tidak menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan individu lain merupakan ciri utama kesukaran interaksi sosial kanak-kanak autisme. Mereka sukar untuk bertentangan mata dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak autisme sukar bergaul dengan kanak-kanak lain dan sering bermain sendirian
Terdapat kanak-kanak autisme yang sensitif kepada bunyi bising, sentuhan dan rasa. Mereka juga mungkin mempunyai tabiat menjilat, memasukkan barang dalam mulut, menggigit atau mencium sesuatu.Kebanyakan kanak-kanak autisme tidak suka disentuh,dipegang atau dipeluk. Ada juga di antara mereka yang memilih makanan kerana masalah sensori badan dan bahagian mulut.
Dari sudut perubatan, masih belum terdapat ubat yang boleh merawat autisme. Kanak-kanak autisme memerlukan rawatan multidisiplin atau terapi yang melibatkan pelbagai pakar dari bidang berbeza. Ini bagi membantu mereka mengatasi masalah yang berkaitan dengan kelewatan perkembangan.Terapi dapat membantu mereka untuk mendapat kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka mengurus diri, belajar dan berkomunikasi dengan orang lain. Antara terapi yang penting untuk kanak-kanak autisme adalah terapi pertuturan-bahasa.
Terapi pertuturan-bahasa diberikan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) atau Terapis Pertuturan-Bahasa. Terapi ini diberikan kepada kanak-kanak autisme bagi membantu kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi. Matlamat terapi yang diberikan adalah untuk mengoptimumkan fungsi komunikasi kanak-kanak autisme.
Terapi pertuturan-bahasa bagi kanak-kanak autisme merangkumi:
Penilaian bahasa, pertuturan dan komunikasi
Terapi bahasa, pertuturan dan komunikasi
Penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif
Penilaian bahasa, pertuturan dan komunikasi
Penilaian dijalankan bagi mengetahui tahap kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi kanak-kanak autisme. Berdasarkan hasil penilaian, Terapis Pertuturan-Bahasa membuat diagnosis kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi serta berbincang dengan ibu bapa/penjaga mengenai matlamat terapi yang dijalankan.
Terapi bahasa, pertuturan dan komunikasi
Terapi akan dijalankan mengikut matlamat yang telah dibincangkan bersama-sama ibu bapa/penjaga. Antara matlamat terapi yang penting bagi kanak-kanak autisme ialah:
Meningkatkan kemahiran awal pertuturan (Latih Kemahiran Awal Pertuturan)
Meningkatkan kemahiran pemahaman bahasa dan pertuturan (Tips Supaya Anak Pandai Bercakap, Seronoknya bercakap dengan anak, Bagaimana Kanak-Kanak Belajar Bercakap)
Meningkatkan kemahiran bermain (Bermainlah dengan anak anda bagi menggalakkan perkembangan pertuturan dan Bahasa mereka)
Penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC)
Sebahagian besar kanak-kanak autisme memerlukan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) bagi membantu mereka berkomunikasi dan menyatakan kehendak. Kaedah AAC amat membantu kanak-kanak autisme yang tidak boleh bercakap atau mempunyai pertuturan yang terhad. Antara kaedah AAC yang sering digunakan dalam membantu kanak-kanak autisme adalah komunikasi bergambar atau Picture Exchange Communication System (PECS). (Komunikasi pilihan: Tanpa Bercakap)
Kesimpulannya, terapi pertuturan-bahasa yang diberikan kepada kanak-kanak autisme bertujuan untuk memastikan mereka mendapat kemahiran yang sewajarnya bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan individu lain pada tahap yang optimum. Ini boleh mengurangkan ciri-ciri autisme yang terdapat pada kanak-kanak. Kanak-kanak autisme pada tahap ringan berpeluang untuk mencapai tahap perkembangan normal seperti kanak-kanak lain sekiranya mendapat rawatan multidisiplin seawal usia dua (2) hingga tiga (3) tahun. Kanak-kanak autisme pada tahap sederhana dan teruk pula, kebiasaannya adalah sukar untuk mencapai tahap perkembangan normal.
Rujukan:
http://www.myhealth.gov.my/austisme-adakah-anak-saya-boleh-normal/
Copyright © 2023 Mothers First Choice
Privacy Policy
Copyright © 2023 Mothers First Choice