Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menjelang tahun depan – dijangka 2.56 bilion penduduk dunia menghidap rabun jauh (miopia), peningkatan dua kali ganda daripada jumlah 1.8 bilion penghidap sekarang. Melalui Kajian Penyakit Mata Pediatrik Segamat, Johor (SEGPAEDS-Disember 2017) melibatkan 1,287 kanak-kanak prasekolah mendapati sebanyak 12.5 peratus daripada mereka (161 kanak-kanak) mempunyai masalah penglihatan dan daripada jumlah itu, 61 peratus daripadanya mempunyai masalah pada kedua-dua mata. Masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak merupakan isu penting yang memerlukan rawatan segera pada usia awal bagi mengelakkan menjadi lebih parah.
Namun sebelum mendapatkan rawatan, anda perlu mengenal pasti terlebih dahulu puncanya. Berikut antara punca semakin ramai kanak-kanak memakai cermin mata.
1) Pendedahan terhadap gajet terlalu lama.
Golongan kanak-kanak pada masa kini sangat terdedah kepada gajet, terutama telefon pintar. Ibu bapa juga seakan-akan tidak menitikberatkan mengenai perkara ini kerana dengan mudah memberi telefon pintar kepada anak-anak. Barangkali ada yang tidak sedar, pendedahan mata kepada skrin telefon pintar dalam masa yang lama dengan jarak yang dekat boleh menyebabkan mata kabur. Kesannya sama sahaja dengan kesan melihat komputer.
2) Menonton televisyen pada jarak yang dekat
Situasi yang hampir sama dengan punca pertama. Cahaya daripada televisyen adalah tidak bagus untuk mata kerana radiasinya boleh merosakkan mata. Bukan hanya mata kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.
3) Menonton televisyen atau bermain gajet dalam keadaan gelap.
Sekiranya kita menonton dalam keadaan persekitaran yang gelap, ia menyebabkan mata kita hanya fokus pada cahaya televisyen tersebut. Mesti anda pernah nampak situasi seperti ini kan?
4) Kurang makan sayur.
Sebagaimana yang kita tahu, sayur adalah satu kumpulan makanan yang mempunyai banyak khasiat. Justeru, sekiranya anda tidak gemar makan sayur, besar kemungkinan mata anda akan mudah rabun. Ini kerana, sayur mempunyai gizi dan vitamin yang tinggi yang diperlukan mata.
Bagi mengekalkan mata anak anda sihat tanpa rabun, anda boleh amalkan beberapa makanan berikut kepada anak anda. Antara makanan yang baik untuk kesihatan mata adalah:
- Lobak merah
- Brokoli
- Sayur bayam
- Biji bunga matahari
- Blueberi
- Telur dan makanan yang mempunyai sumber vitamin A, vitamin C, vitamin B6, dan vitamin E.
Sumber : Dapurpts.com