Cara mencuci pakaian anak adalah salah satu pengetahuan yang perlu dipelajari oleh setiap ibu bapa terutama bagi mereka yang baru mendapat anak. Berikut adalah 8 tips penting cuci pakaian bayi yang ibu bapa perlu tahu untuk mengelakkan masalah kulit.
1. Asingkan baju bayi dan dewasa
Sepanjang setahun pertama usia anak, pastikan cuci pakaian mereka berasingan dengan pakaian orang dewasa yang lain untuk mengelakkan pencemaran kotoran daripada pakaian orang dewasa.
2. Cuci pakaian baru
Jangan memakaikan anak dengan pakaian yang baru dibeli. Cuci terlebih dahulu pakaian tersebut bagi menghilangkan debu dan kandungan bahan kimia yang digunakan dalam proses membuat pakaian tersebut.
3. Buang kotoran pejal
Bersihkan dahulu kesan kotoran makanan bayi sebelum pakaian dicuci. Buang sebarang kotoran pejal yang ada pada pakaian, bilas bahagian tersebut di bawah air mengalir. Sekiranya masih ada lagi kesan kotoran, anda boleh rendam sekejap dalam air yang dicampur dengan sabun pencuci khas untuk bayi.
4. Sabun khas untuk baju bayi
Gunakan sabun khas untuk bayi atau sabun yang benar-benar dipastikan bebas bahan kimia berbahaya bagi mencuci pakaian sehingga mereka berusia enam bulan. Selepas itu anda boleh bertukar perlahan-lahan kepada sabun lembut yang biasa. Sekiranya anak menghadapi masalah jangkitan pada kulit, kembali gunakan sabun khas untuk bayi kerana dia mungkin mempunyai kulit yang sensitif.
5. Jangan guna pelembut pakaian
Jangan gunakan pelembut pakaian semasa mencuci pakaian anak selama enam bulan pertama usianya. Selepas tempoh usia tersebut, anda boleh menggunakan pelembut pakaian yang mempunyai kandungan formula hypoallergenic, tiada bahan kimia berbahaya dan tidak bertoksik.
6. Bilas dengan sempurna
Sekiranya memilih cara cucian tangan, pastikan anda membilas pakaian anak beberapa kali sehingga tiada lagi kesan sabun yang tinggal.
7. Gunakan putaran lembut
Jika menggunakan cara cucian mesin basuh, pilih butang putaran lembut pada mesin basuh semasa mencuci. Ia untuk mengelakkan pakaian anak anda mudah rosak.
8. Tidak perlu disterika
Biasanya pakaian bayi tidak perlu disterika. Sekiranya ada jenis yang perlu disterika, elakkan penggunaan suhu terlalu tinggi yang berisiko merosakkan kelembutan pakaian bayi.
8 tips pencucian pakaian bayi ini bukan hanya terhad pada pakaian sahaja tetapi diguna pakai untuk semua fabrik yang bersentuhan dengan kulit bayi seperti selimut, kain bedung, cadar, sarung bantal, tuala dan sebagainya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.