Bayi kuning? Apa yang para ibu perlu ambil tahu?
Bayi kuning? Apa yang para ibu perlu ambil tahu? Terdapat dua jenis jaundis yang berkaitan dengan penyusuan badan iaitu: Jaundis susu ibu (breast milk jaundice) Jaundis penyusuan susu ibu (breastfeeding jaundice). Dalam kebanyakan hal, bayi anda mungkin mengalami jaundis penyusuan susu ibu, iaitu disebabkan tidak menyusu dengan mencukupi. Dalam keadaan ini, anda akan disarankan untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin, agar lebih banyak bilirubin dibuang daripada badan bayi. Doktor anda mungkin akan menyarankan tip-tip berikut: Sejurus selepas kelahiran, pegang bayi anda kulit ke kulit supaya menggalakkan bayi menekap di payudara. Letak bayi di dada sekerap mungkin. Susukan bayi sejurus selepas kelahiran dan sekerap mungkin dalam beberapa hari pertama. Lebih kerap bayi menyusu, lebih kerap bayi akan membuang dan menyingkirkan bilirubin. Pam susu anda untuk diberikan kepada bayi, jika perlu. Jika bayi anda kerap mengantuk, pam susu kolostrum dan berikan menggunakan cawan atau sudu. Hubungi konsultan laktasi untuk pemeriksaan teknik menyusu untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Ketahui isyarat lapar bayi anda dan segera bertindak balas! Jangan tunggu sampai bayi anda menangis untuk mula memberinya makan. Pastikan anda menyusu sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Jika bayi anda tidak bangun sendiri dalam tempoh 3 jam, kejutkan untuk menyusukannya. Buka pakaian bayi anda dan biarkan lampin sahaja agar bayi terjaga sewaktu menyusu dan menyusu dengan betul. Teruskan menyusu. Jangan memberikan air untuk menyingkirkan bilirubin. Jaundis susu ibu (breast milk jaundice) pula adalah penyakit kuning dalam bayi yang berlaku seminggu selepas kelahiran. Keadaan ini sangat jarang berlaku dan dilaporkan terjadi dalam kurang daripada 3 peratus bayi. Keadaan ini kadang-kadang boleh bertahan sehingga 12 minggu, tetapi jarang menyebabkan komplikasi pada bayi yang sihat dan menyusu baik.