Bayi yang baru lahir akan banyak tidur. Jangkakan bayi anda tidur sehingga 18 jam sehari pada minggu-minggu pertamanya. Tetapi dia tidak akan tidur lebih daripada tiga atau empat jam pada satu masa, tidak kira siang ataupun malam.
Bayi anda boleh membina tabiat tidur yang baik dari seawal enam minggu. Berikut adalah bebeerapa taktik yang anda boleh gunakan untuk membantu bayi anda lena.
1) Kenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan dia sudah letih
Semasa usia enam hingga lapan minggu, bayi anda tidak boleh berjaga lebih daripada dua jam pada satu-satu masa. Jika anda lewat menidurkannya, dia akan terasa terlalu letih dan tidak akan dapat lena dengan mudah.
Ketika usia bayi tiga bulan, pelajari tanda-tanda yang menunjukkan dia mengantuk, seperti:
✅merengek dan menangis apabila diusik;
✅merenung kosong;
✅menguap;
✅diam dan tidak bergerak.
Jika anda nampak perlakuan begini atau tanda-tanda mengantuk yang lain, cuba letakkan dia ke dalam kot atau raga kendongnya. Tidak lama lagi anda akan membentuk deria keenam mengenai ritma dan corak harian bayi anda, dan naluri anda akan tahu apabila dia sudah bersedia untuk tidur siang.
2) Ajarkan dia perbezaan di antara siang dan malam
Sesetengah bayi suka berjaga pada waktu malam dan masih jaga apabila anda sudah hendak masuk tidur. Apabila usia bayi kira-kira dua minggu, anda boleh mula mengajarnya membezakan malam daripada siang, namun ingatlah bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum bayi anda nampak sudah dapat memahami konsep ini.
☀ Pada waktu siang, apabila dia awas dan cergas:
✅ Tukar bajunya apabila dia terjaga untuk menandakan permulaan hari yang baru.
✅ Bermainlah dengannya sebanyak mungkin.
✅ Jadikan sesi penyusuan pada waktu siang sebagai masa untuk bersosial. Berbual dan menyanyilah ketika menyusukannya.
✅Pastikan rumah anda dan biliknya cerah dan terang.
✅Biarkan dia mendengar bunyi bising biasa seperti TV atau mesin basuh.
✅Kejutkan dia dengan lembut jika dia tidur semasa sedang menyusu.
⭐ Pada waktu malam:
✅ Susukan bayi anda dengan senyap.
✅ Pastikan cahaya dalam rumah dan bunyi-bunyi bising di tahap minima, dan jangan terlalu banyak bercakap dengannya.
✅ Pakaikan dia baju tidur untuk menandakan hari sudah tamat.
Kesemua ini akan membantu bayi anda mula memahami bahawa waktu malam ialah waktu untuk tidur.